Syarikat awam berhad Pendaftaran syarikat di Malaysia

Takrifan

Syarikat Awam Berhad juga adalah di bawah takluk Akta Syarikat 1965, dan mempunyai sifat-sifat yang sama. Sesebuah Syarikat Sendirian Berhad yang telah berjaya dan ingin menambahkan ahli-ahlinya iaitu lebih daripada 50 orang hendaklah mengubah bentuknya daripada syarikat sendirian berhad kepada syarikat (Awam) Berhad (Public Ltd. Company) Bilangan ahli Syarikat Berhad ini tidak terhad tetapi hendaklah sekurang-kurang tujuh orang.

Penjualan saham

Syarikat Berhad boleh mempelawa orang ramai membeli sahamnya. Tetapi sebelum berbuat demikian, satu panduan rancangan (prospectus) hendaklah disiapkan dan diluluskan oleh Pendaftar Syarikat dan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan untuk menerangkan kepada orang ramai kedudukan sebenar syarikat tersebut dan menyebutkan rancangan-rancangan yang hendak dibuat serta anggaran pendapatan dan tahunan syarikat ini mestilah disiarkan di dalam panduan rancangan tersebut dan Pengarah-Pengarah yang berkenaan adalah bertanggungjawab atas segala butir-butir yang terkandung di dalam panduan rancangan itu. Pengarah-Pengarah, Pegawai-pegawai Syarikat dan lain-lain pihak yang berkenaan boleh didenda di Mahkamah jika panduan rancangan ini mengandungi butir-butir yang palsu.

Syarikat berhad yang kecil tidak perlu mengeluarkan Prospektus. Apa yang diperlukan ialah Statement in Lieu of Prospectus yang telah diluluskan oleh Pendaftar Syarikat.

Saham Syarikat Berhad ini juga boleh dijual-beli melalui pasaran saham (stock exchange) dengan syarat keahlian syarikat ini tidak terhad kepada mana-mana satu bangsa atau kaum. Sebelum itu Syarikat tersebut hendaklah mendaftar dirinya dengan Pasaran Saham tersebut dengan bayaran-bayaran tertentu.